Hadiah Bererti Menjelang Hari Raya

>> Thursday, September 24


27 Ramadhan 1430H bersamaan 17 September 2009

"Abang!, Jom dah nak bersalin, contraction dah makin kerap'". Jerit isteri saya sambil menyiapkan kelengkapan untuk ke hospital

"Betul ke ni?", saya bertanya untuk memastikan, tambahan lagi tarikh due nya masih berbaki dua minggu

"Betul la, contraction dah makin kerap, setiap 5 minit, bukan contraction main main, ", terang isteri saya yang dari semalam sudah mula mencatit kekerapan waktu berlaku contraction.

Jam menunujukkan hampir jam 11 pagi . Kami pun bersiap siap untuk ke hospital, tiba tiba dapat panggilan

"Akh, boleh tolong?", tanya seorang Ikhwah kepada saya

"Tolong apa?", tanya saya

"Tolong hantar ana ke airport, ikhwah yang nak hantar ana tu ada masalah", jawabnya dengan nada mengharap

"Afwan la akh, isteri ana dah nak bersalin ni", jawab saya dan kami menamatkan perbualan.

Tiba tiba saya didatangi dengan sedikit rasa bersalah, bersalah kerana tidak menunaikan hak ukhwah, tambahan lagi kebanyakan ikhwah sudah balik bercuti, tinggal saya, Akh Aizam dan Akh Azrin. Akh aizam di Matang, Akh Azrin kerja, tinggal saya sahaja.

Setinggi tinggi nilai ukhwah itu adalah itsar (mengutamakan saudara) walaupun ada urusan dan kepentingan sendiri. Lihat saja bagaiman kisah itsar kaum ansar terhadap muhajirin seperti yang di termaktub dalam Kitabullah

..Dan mereka (kaum ansar) mengutamakan (muhajirin ) atas diri mereka sendiri, Sekalipun mereka memerlukan apa yang mereka berikan itu, Dan sesiapa yang dipelihara dari kekiran dirinya, maka mereka itulah orang yang beruntung (Al Hasyr 59:9)

Saya menelefon semula.

"O.k la akh, kita ke hospital dulu, baru hantar antum ke airport", saya memberitahu

"O.k, jazakallah, tapi kita ke Bunga Raya dulu, hantar kereta", jawabnya

Alhamdulillah kami sempat tiba di Hospital Umum Sarawak, saya pun menghantar isteri saya ke bilik bersalin dan kemudiannya menghantar Ikhwah tersebut ke airport. Urusan pendaftaran isteri saya telah diuruskan oleh jururawat.


Hospital Umum Sarawak

Setelah menghantar ikhwah tersebut ke airport, saya kembali ke Hospital dan langsung saya menelefon isteri saya

"Macam mana, dah bersalin?", tanya saya

"Belum, tengah tunggu turn", jawabnya

Selang beberapa minit menunggu, masuk kiriman sms dari isteri saya

" Sayang, doakan saya dan mujahid atau mujahidah yang bakal lahir, dah sakit sangat", kiriman sms dari isteri saya

Saya terus ke surau hospital, terletak di tingkat 2 klinik pakar SGH. Tidak jauh dari bilik bersalin. Saya solat hajat dua rakaat

Didalam sujud saya memohon

" Ya Allah, ku mohon ampun atas segala dosa dosaku dan isteri. Ya Allah, Kau mudahkanlah perjuangan isteriku, Ya Allah, ku mohon anak yang bakal dilahirkan itu sihat dan sempurna tidak seperti anakku yang sebelum ini. Ya Allah, janganlah Kau bebani aku sesuatu yang tak mampu untuk aku pikul"

Seusai memberi salam, saya terus bergegas ke bilik bersalin (labour room), terletak di tingkat 2 Hospital Kuching. Sementara menunggu saya meminta kepada jururawat bertugas untuk mengisi borang ' Husband friendly form'. Borang ini disediakan bagi para suami yang berkeinginan untuk melihat bagaimana isteri deliver baby di labour room. Juga untuk memberi semangat kepada isteri yang tengah berjuang untuk bersalin.

Pukul 2.30 p.m

Saya masih menunggu di hadapan bilik bersalin, menunggu untuk dipanggil masuk ketika isteri saya sudah hendak bersalin

Saya difahamkan bahawa jururawat yang bertugas akan memanggil saya masuk ke labour room apabila isteri saya sudah benar benar hendak bersalin dan sudah nampak tanda tanda kepala bayi keluar.

Saya masih menunggu, sambil menunggu saya membaca Al-Quran, tiba tiba saya dapat panggilan. No tertera di skrin telefon 'Kak Ilah'. Kak Ilah adalah kakak kepada isteri saya yang bertugas menyambut kelahiran bayi pada waktu itu. Lebih dikenali dengan Dr. Ameerah Adeelah.

Saya mengangkat telefon, suara isteri saya, bukan Kak Ilah.

"Ha, macam mana?, bila boleh masuk?", tanya saya

"DAH BERSALIN", isteri saya memberitahu dengan nada gembira

"Hah!, kenapa tak ada jururawat panggil masuk pun?", rungut saya, sedikit tidak puas hati.

" Tak sempat, baby keluar sendiri, bila Dr suruh jururawat panggil, dia dah pun keluar, bersalin normal", terang isteri saya.

"ALHAMDULILLAH, puji dan syukur bagi Allah yang telah mendengar doa saya dengan memudahkan urusan kelahiran anak saya ", doa saya dalam hati

"Anak macam mana, o.k?", tanya saya selanjutya, risau kalau abnormal seperti Ammar dulu.

" Alhamdulillah o.k semua, baby girl", jelas isteri saya.

" ALHAMDULILLAH, sekali lagi segala puji bagi Allah yang telah mendengar dan memakbulkan doa saya" cetus saya dalam hati.

Alhamdulillah, anak saya telah selamat lahir pada jam 2.42 p.m, 27 Ramadhan 1430H bersamaan 17 September 2009.

Saya menamatkan perbualan dengan isteri saya bagi memberi peluang untuknya berehat, kemudian saya menuju ke surau.

Di surau, saya sujud syukur, didalam sujud saya menangis.

" Ya Allah, Segala puji bagi Engkau yang telah mendengar permohonon Hamba-MU yang banyak berdosa. Ya Allah, segala puji bagi Engkau yang telah memberikan aku berbagai nikmat sebagai seorang hamba, berilah aku kekuatan untuk aku melangkah kepada langkah seterusnya, kerana ku tahu langkahku seterusnya pasti lebih mencabar"

Kemudian saya menelefon keluarga di kampung memberitahu akan berita gembira ini.

Saya kembali ke bilik bersalin, menunggu Kak Ilah menunjukkan anak saya kepada saya untuk di azankan

"Nanti, bila nurse dah selesai cuci dan basuh baby, kak Ilah bagi", beritahu kak Ilah kepada saya

"O.k, baby semua o.k, tak da masalah?", tanya saya untuk kepastian.

"O.k, tak da masalah apa", jawab Kak Ilah.

Dr Ameerah Adeelah (Kak Ilah) yang menyambut anak buahnya

Anak saya yang baru sahaja bersalin, masih di labour room

Saya memberitahu berita gembira ini kepada beberapa Ikhwah dan Akhwat yang terdekat, tak lama kemudian bertali arus sms masuk ke h.phone saya mengucapkan tahniah dan doa kepada saya dan keluarga. Baik ikhwah dan akhwat yang jauh di Utara semenanjung sehinggalah ke Sabah dan Sarawak. Untuk semua yang telah menghantar kiriman sms dan menelefon saya, saya ucapkan Jazakumullllahukhairan kathiran. Insya Allah, semua yang menghantar kiriman sms dan membuat panggilan akan saya catat dalam personal diary saya.

Semoga Allah membalas doa doa antum.

3 Syawal

Sudah 5 hari usia anak saya, saya masih belum memilih nama yang sesuai untuknya, berbagai pandangan dan pendapat diberikan oleh sanak saudara, juga Ikhwah dan Akhawat.

"Lailatul Qadriyah", cadang ibu mertua saya, mungkin kerana dia lahir 27 Ramadhan

" Nur Ramadhani", cadang saudara yang lain, kerana dia lahir di bulan Ramadhan

Sebenarnya, saya sudah punya keinginan untuk letakkan nama 'AISYAH di hadapan nama anak saya

Kerana apa?

Kerana saya ingin dia menjadi sepintar Aisyah Humaira isteri Rasulullah, seorang periwayat hadis dan Ahli Fiqh yang masyhur. Bahkan para sahabat sahabat yang agung juga menamakan putri putri mereka dengan nama Aisyah.

Aisyah binti Talhah Ubaidillah, seorang putri Talhah yang sangat cantik dan suci, murid kepada Aisyah binti Abu Bakar, juga periwayat hadis. Bahkan juga merupakan seorang yang mahir dalam Ulumul Quran.

Aisyah binti Saad Ibn Waqas, seorang Ahli Fiqh, ilmuwan dan juga perawi hadis. Bahkan Imam Ahmad juga pernah meriwayatkan hadis yang sanadnya dari Aisyah binti Saad

Aisyah binti Uthman Ibn Affan, seorang putri yang fasih berhujah dan berbicara, boleh dilihat dari pidato pidatonya ketika pembunuhan ayahnya Uthman Ibn Affan.

Harapan saya, semoga putri saya juga dapat menelusuri, meneladani dan seterusnya berkeperibadian seperti mereka.

Bahkan Rasulullah sendiri menganjurkan kita untuk memilih nama nama yang baik untuk putra putri kita. Sabda Rasulullah SAW

"Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari kiamat dengan nama kamu dan nama bapa bapa kamu, maka perelokkanlah nama kamu" (Hadis Riwayat Ibn Hibban dari Abu Darda')

Bahkan, nama juga memberi pengaruh yang besar terhadap peribadi anak. Sekiranya nama anak yang diberikan tidak baik, maka dikhuatirkan anak itu juga menjadi tidak baik. Menurut Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari

Dari Said bin Musayyab dari bapaknya dari kakeknya, ia berkata: Aku datang kepada nabi SAW, beliau pun bertanya:" Siapa namamu?". Aku menjawab "Hazin" Nabi berkata "Namamu Sahl". Hazn berkata "Aku tidak akan merubah nama pemberian bapakku". Ibnu Al Musayyab berkata " Orang tersebut sentiasa bersikap keras kepada kami setelahnya (HR Bukhari)

Maka amatlah dianjurkan untuk menamakan putra putri kita dengan nama yang baik. Oleh itu sempena hari ke-7 dari kelahiran putri saya, saya namakan dia dengan 'nama 'AISYAH SAFIYYA yang membawa erti Aisyah yang bersih dan ikhlas.

'AISYAH SAFIYYA

Mudah mudahan kau menjadi sosok peribadi yang hebat dan ikhlas dalam memperjuangkan agamamu, putriku. Doa abi dan Ummi sentiasa mengiringi langkahmu.

Sekian, Wallahua'lam

Abu Redha
5 Syawal 1430 H
23 September 2009
Kota Samarahan, Sarawak.

teruskan membaca...

PECUTAN TERAKHIR!!!

>> Thursday, September 10

(gambar hiasan)

Tanpa disedari, Ramadhan kian hampir ke penghujung, bakal meninggalkan berbagai kenangan yang indah maupun sebaliknya, bagi yang sedang menyiapkan bekalan sebagai Hamba-NYA pasti menggamit resah di dada.

Ya, resah, resah kerana ramadhan hampir pergi meninggalkan mereka, tidak diketahui samaada berjumpa lagi atau tidak pada tahun seterusnya. Juga resah untuk menjalani kehidupan yang mendatang, apakah masih mampu beribadah seperti bulan Ramadhan atau sebaliknya.

Bagi yang sedang menyiapkan bekal Hari Raya, juga resah. Ya, resah untuk menyiapkan pelbagai kelengkapan Hari Raya yang bakal berkunjung tiba.

"Langsir sudah tempah belum?"
"Baju Raya sudah siap belum?"
"Sofa rumah sudah lusuh, bila nak tukar ni?"
"Rendang, ketupat, lemang"

"Aduh, pening pening!!"

Mereka juga resah. Resah untuk kelengkapan Hari Raya.

Aduh! sangat dikasihankan.

Peluang untuk beribadah di bulan Ramadhan dipenuhi dengan persiapan raya dan diiringi juga dengan lagu lagu Raya yang jauh melupakan tentang Ramadhan yang masih berbaki beberapa hari.

Saudara pembaca,

Seorang pelari pecut, pasti akan mengumpulkan seluruh tenaganya untuk membuat PECUTAN TERAKHIR ketika hampir ke garisan penamat.

Untuk apa?

Untuk bergelar juara, Ya, juara dengan mengalahkan peserta yang lain.

Seorang pelajar yang hanya tinggal seminggu untuk menduduki peperikasaan juga akan mengumpulkan segenap kudratnya yang terdaya untuk membuat PECUTAN TERAKHIR. Juga akan diselenggarakan berbagai bengkel dan juga seminar yang tajuknya tidak akan lari dari 'PECUTAN TERAKHIR'

Untuk apa?

Tidak lain hanyalah untuk berjaya dengan cemerlang di dalam peperiksaan

Bakal mempelai yang akan mendaki bahtera rumahtangga juga pasti akan menyiapkan bekal yang secukupnya. Pasti akan membuat 'PECUTAN TERAKHIR" tika hampir seminggu lagi sebelum bahtera mula menaikkan sauhnya.

Kerana apa?

Supaya persiapan tertata rapi dan majlis dapat berlangsung dengan jayanya.

Saudara pembaca,

Begitulah kalau dapat dianologikan. Kalau sekiranya, pelari pecut mampu membuat pecutan terakhir untuk berjaya, pelajar mampu membuat pecutan terakhir untuk cemerlang ,mempelai berusaha menyiapkan persiapan perkahwinannya dengan membuat pecutan terakhir untuk berjaya, maka apakah ketika Ramadhan sudah ke penghujungnya kita masih maintain tanpa sebarang pecutan

Ramadhan masih berbaki 9 hari

Hampir menuju ke garisan penamat, namun tetap masih belum tiba. Maka kita dituntut untuk membuat PECUTAN TERAKHIR. YA, Pecutan terakhir sebelum tiba ke garisan penamat.

Pecutan yang akan menentukan berjaya atau tidak kita mengharungi Ramadhan. Pecutan terakhir yang juga merupakan pecutan penentuan.

Bagi yang telah leka sebelumnya, ini masanya untuk anda memecut!, bagi yang masih 'maintain' dengan pecutan yang ada, kini masanya untuk anda menambahkan 'speed'!, bagi yang sudah sedia memecut, kini masanya untuk anda terus memecut sebelum tiba ke garisannya!. Ya, pecutan terakhir pecutan penentuan.



Bagi yang masih belum khatam Al-Quran, ini masanya untuk anda memecut untuk menkhatamkan Al Quran, bagi yang tengah berusaha, ini masanya untuk anda meningkatkan usaha anda, bagi yang sudah khatam, kini masanya anda terus memecut menggandakan usaha.

Kerana apa?

Kerana masanya sudah tiada, garisan penamat semakin hampir, andai berlengah lagi, pasti kita akan tersungkur tewas.

Maka, mungkin ini sebabnya kenapa Rasulullah menggalakkan kita menggandakan ibadah di penghujung Ramadhan terutama pada 10 malam terakhir Ramadhan

10 malam terakhir

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aisyah yang bermaksud

Adalah Rasulullah SAW apabila telah masuk 10 akhir Ramadhan, maka baginda akan menghidupkan malam malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya (HR Bukhari Muslim)

Juga dalam hadis yang lain dari Aisyah
'Bahawa Rasulullah beriktikaf 10 hari akhir Ramadhan sampai baginda wafat (HR Bukhari Muslim)

Juga pada 10 malam terakir dari Ramadhan dikurniakan satu malam yang tiada tanding taranya dengan malam malam yang lain iaitu malam LAILATUL QADR.



Sesungguhnya kami telah menurunkan Al Quran pada Lailatul Qadr,
Apa yang kamu tahu tentang Lailatul Qadr?
Lailatul Qadr itu adalah lebih baik dari seribu bulan
Pada malam itu turun malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin tuhan untuk mengatur semua urusan,
Sejahteralah malam itu sehingga terbit fajar
(Al Qadr, 97:1-5)

Malam lailatul Qadr itu ternyata lebih baik dar 1000 bulan, iaitu kira kira bersamaan dengan 83 tahun.

Subhanallah!, beribadah pada malamnya dikira seperti beribadah selama 83 tahun.
Alangkah ruginya bagi orang meninggalkannya.

Hadis dari Abu Hurairah

"Barangsiapa berdiri (solat) pada malam lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosa dosanya yang telah lalu (HR Bukhari Muslim)

Satu lagi ganjaran yang Allah Taala tawarkan iaitu pengampunan dari dosa.

Sekali lagi, alangkah ruginya bagi orang orang yang tidak mendapatkannya.

Usah ditanya, bilakah malam Lailatul Qadar, kerana malamnya sengaja disembunyikan Allah.

Kerana apa disembunyikan waktunya?

Supaya orang-orang yang malas menjalankan ibadah, mereka bersemangat untuk menjalankan ibadah pada 10 hari terakhir di bulan Ramadhan. Hikmah yang lainnya juga yaitu agar menambah amal shalih seseorang untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Namun demikian terdapat tanda tanda lailatul Qadr yang dijelaskan oleh hadis. Saya simpulkan sahaja dibawah tanpa menyebut hadisnya khuatir coretan ini menjadi panjang dan membosankan pembaca. Untuk mengetahul lanjut tentang hadis hadisnya boleh lawati blog saudara saya http://satuummah.blogspot.com/2009/09/hukum-seputar-malam-lailatul-qadar.html

Tanda tandanya

1. Malam yang cerah dan terang
2. Angin yang berhembus tenang, tidak dingin dan tidak panas
3. Dirasakan ketenangan yang amat sangat bagi orang yang beriman dan beribadah pada malam tersebut
4.Matahari terbit pada keesokannya dengan tidak terlalu menyilau berbeza dengan hari sebelumnya.

Wallahua'lam, saya cukupkan sampai di sini sahaja

Kesimpulannya

Marilah kita sama sama membuat PECUTAN TERAKHIR untuk sisa sisa hari yang masih ada di bulan Ramadhan.

Berusahalah sebaik mungkin meminimumkan urusan dunia dan memaksimumkan ibadah taqarub Ilallah.

Bagi para pelajar, berusahalah untuk menyiapkan segala tugasan (assignment) pada sebelah petangnya dan berkonsentrasilah untuk beribadah pada sebelah malamnya. Bagi para penulis dan peminat blog, minimumkanlah lawatan lawatan ke blog untuk malam malam terakhir dari bulan Ramadhan ini dan menumpukan ibadah yang lain dengan sebaik baiknya.

Insya Allah ini mungkin en3 saya yang terakhir sehinggalah selesainya Ramadhan.

Mudah mudahan Allah menemukan kita dengan Lailaul Qadr, dan menganugerahkan kita piala KeTAQWAan bila tiba di garis penamat nanti hendaknya


Piala TAQWA (gambar ilustrasi dan hiasan)

Wahai orang yang beriman! diwajibkan keatas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan keatas orang orang sebelum kamu supaya kamu beroleh keTAQWAan (Al-Baqarah 2: 183)

Abu Redha
21 Ramadhan 1430 H
Kuching Sarawak



teruskan membaca...

Muhammad Ammar Ar Ridho

>> Friday, September 4


Tepat 1 tahun yang lalu..

Masih di bulan Ramadhan, seperti biasa sesudah subuh, sebelum ke makmal Analytical Chemistry, saya beriktikaf di masjid Unimas, lebih kurang jam 10 pagi. , dek kerana keletihan, saya tertidur di lantai masjid, tiba tiba ada sms masuk

" Hafiz, ibu nak bagitau, Dikni dah masuk labour room, ibu hantarkan pagi tadi, di Hospital Kajang"..kiriman sms dari ibu saya

Saya masih tidur, langsung tak perasan ada sms masuk, tambahan lagi saya biarkan Handphone saya dalam silent mode. Masuk sms yang kedua

" Abang, doakan dikni, halalkan makan minum dikni, dikni minta maaf banyak banyak, dikni sekarang dah di labour room"..kiriman sms dari isteri saya

Tak lama kemudian saya terjaga, langsung saya membaca sms, alangkah terkejutnya saya kerana isteri saya masih berbaki sebulan setengah lagi dari tarikh duenya, tak sangka akan beranak sebegini awal

Saya terus menelefon isteri saya, tak berangkat, kemudian saya menelefon ibu saya

"bagaimana keadaan Dikni bu?"..tanya saya

"Dikni ibu dah hantar ke labour room tadi, semalam ada contraction dan rahim pun dah terbuka"..jawab ibu saya

Sekali lagi saya menelefon isteri saya, Alhamdulillah kali ini berjawab, saya tiupkan kata kata semangat untuk dia berjuang. Ya berjuang, berjuang untuk melahirkan seorang Mujahid. Saya hanya pasrah, menerima segala ketentuan Ilahi.

Saya berwuduk, kemudian solat hajat mohon Allah mudahkan segalanya. Dalam sujud saya tak berhenti henti berdoa, tanpa disedari air mata saya mengalir terkenangkan segala nikmat dan kurniaan yang Allah kurniakan kepada saya. Nikmat kebahagiaan berumah tangga yang jarang dikecapi oleh pemuda lain seusia saya. Kurniaan Allah yang telah membuatkan saya dewasa dan sedikit matang dalam berfikir walaupun baru berusia 21 tahun. Juga nikmat dikurniaknan isteri solehah yang tidak pernah mengingkari saya walau sekali, yang sering menghiburkan saya dengan nyanyian nyanyiannya yang melembutkan hati.

Dan diantara tanda tanda (kebesaran-NYA) ialah dia menciptakan pasangan pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram padanya, dan dia menjadikan diantaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh pada yang demikian itu benar benar terdapat tanda tanda kebesaran Allah bagi kaum yang berfikir (Ar-Rum 30:21)

Jam 12 tengah hari,

Saya menelefon ibu saya semula, tanyakan khabar tentang isteri dan anak saya.

Macam mana ibu dengan dikni, dah bersalin?"..tanya saya

"Alhamdulillah sudah tadi, dikni alhamdulillah o.k, tengah tidur kepenatan, cuma...cuma..baby ada masalah sikit"..jawab ibu saya

Masalah apa ibu?.. saya bertanya

"Abnormal sikit, dia flat, usus nya di luar bukan di dalam, tambahan lagi dia premature jadi dimasukkan ke ICU, petang ini pihak hospital akan bawa ke Hospital Kula Lumpur untuk operation memasukkan usus"..ibu saya menerangkan

Saya pasrah dan redha dengan ketentuannya, saya bersyukur kerana isteri saya selamat, tentang baby saya serahkan kepada Allah, kerana dialah pemiliknya yang sebenar, saya hanyalah orang yang diamanahkan untuk menjaganya.

Kemudian saya menelefon mak saudara saya yang saya panggil sebagai Mak Lang, kebetulan dia bertugas sebagai doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL), saya memintanya untuk tolong apa yang patut..

Tak lupa juga, saya pesankan kepada ayah saya untuk mengazankan ke telinga anak saya..

Jam 9 malam, ketika operation,

Malam tersebut saya hanya mampu berdoa supaya Allah lancarkan segalanya. Kebetulan malam itu saya ada halaqah bersama ikhwah ikhwah Medic, saya juga mohon mereka berdoa bersama saya.

Yang paling mengharukan saya, ketika ikhwah ikhwah dan akhwat memberi kiriman sms kepada saya mendoakan ketabahan saya dan isteri dan ramai juga yang menelefon

Sungguh peristiwa ini takkan pernah luput dari ingatan saya, saya mendapat sms dari ikwah dan akhawat dari Perlis utara semenanjung hinggalah ke Sabah. Semua sms yag dikirim menaikkan semangat saya dan benar benar memotivasikan saya. Oh! sungguh indah berukhwah keana-Mu Ya Allah..

Malam tersebut, dalam tahajud saya pasrahkan segala galanya kepada Allah, dan siap menerima segala ketentuaNYA..

Keesokannnya..


Saya sudah bersiap untuk pulang ke Kajang dari Sarawak, jutaan terima kasih buat Mak lang saya yang telah membelikan tiket untuk saya pergi dan pulang. Sungguh, saya akan kenang sebagai memori terindah kerana memang di saat itu saya langsung tak berduit..

Turun saja dari flight, saya mendapat kiriman sms dari Mak lang saya

" Mak lang sudah ziarah baby tadi kat Hospital, kebetulan masa Mak lang pergi tu ada pakar, Alhamdulillah, baby sudah selamat operation, usus berjaya dimasukkan sepenuhnya, dan pusat pun dah cantik"..

Saya hanya mampu bersyukur dan menangis tika itu

" Maha suci Allah yang menciptakan manusia dengan sebaik baik kejadian"..demikian bisikan hati saya

Seminggu sesudah operation,

Anak saya, saya namakan dengan Muhammad Ammar Ar-Ridho, inspirasi dari Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, seorang tokoh Ikhwanul Muslimin di Iraq. Saya namakan dengan Ar-Ridho, mudah mudahan dia rido dengan ketentuan Allah terhadap dirinya.

Keadaan Ammar bertambah baik, sudah mula minum susu ibu setelah seminggu berpuasa, tetapi masih melaui tiub yang disalurkan langsung ke perutnya.



Ammar sudah mula senyum, teringat saya waktu saya menziarahinya dengan sepupu saya. Semasa saya datang saya dengar dia menangis dan terus menangis, bila ternampak saja saya dia terus diam, demikian juga bila umminya datang. Dia juga akan berhenti menangis bila tangan umminya menyentuh tubuhnya dan akan sangat selesa bila didukung.

Saya sedikit hairan, bagaimana dia bisa membezakan sentuhan umminya dengan sentuhan para jururawat yang lain!. Sungguh kasih sayang seorang ibu takkan pernah dapat dinilai..demikian sifat rahmah yang Allah kurniakan pada hambanya.

Melihat keadaannya yang semakin baik, saya sedikit selesa untuk pulang semula ke Sarawak Walaupun agak berat untuk berpisah, terutama dengan isteri yang masih dalam pantang dan anak yang masih di Hospital, namun saya gagahkan juga dek mengenangkan tanggungjwab dan amanah yang perlu saya siapkan di Sarawak. Ya, 'amanah' yang akan dipertanyakan Allah di akhirat kelak.

Saya bercadang untuk pulang semula pada hari raya.

Selepas hari raya,

Seminggu saya bercuti untuk hari Raya, menemankan isteri dan anak saya yang masih di HKL. Pada hari hari terakhir cuti saya, keadaan Ammar mula kritikal. Kandungan hemoglobin dalam darah mula berkurangan secara tiba tiba dan platelet juga menyusut. Susu terpaksa dihentikan dan Ammar dikehendaki berpuasa semula.

Saya mula khuatir

"Apa masalahnya Dr?".. saya bertanya

Kami pun tak dapat kenal pasti lagi, kemungkinan ususnya bermasalah. Insya Allah kami akan X-ray dan buat ultra sound untuk kenal pasti masaalah"..Dr menerangkan

Saya redha saja, walaupun saya tahu effect dari sinar radioaktif X-ray.Namun, andai itu saja caranya..

Setelah X-ray dan Ultrasound, Dr masih belum dapat mengenal pasti masalah. Sudah banyak darah dan platelet dibekalkan ke badan Ammar tapi masih tak cukup.

Jadi macam mana Dr?..saya bertanya

"OPERATION, itu saja caranya, risiko hidup 50%"..Dr menjelaskan

Saya redha walaupun terluka, operation untuk kedua kalinya. Saya sedia maklum akan kesan operation terhadap bayi, terutama apabila dibius. Bayi boleh cacat dan akan memberikan kesan kepada otak. Kemungkinan juga bayi akan trauma.

"Inna lillahi wa inna Ilaihi rajiun"..demikian keluh saya, seperti apa yang diajarkan Al Quran kepada sesiapa yang diterima musibah

Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang sabar yang apabila ditimpa musibah berkata ' Inna lillahi wa inna Ilaihi Rajiun' Sesunggguhnya kami milik Allah dan kepadaNYA lah kami kembali. (Al-Baqarah 2:155-156 )

Ketika operation, saya solat hajat di surau, mohon Allah kuatkan saya dan isteri walau apa pun keputusannya nanti..

Dan Alhamdulillah, Ammar berjaya dioperate, cuma masalah sebenar masih belum diketahui, ususnya tiada masalah yang besar tapi keadaan masih kritikal.

"Kita hanya boleh tunngu dan lihat bagaimana progressya nanti", salah seorang Dr memberitahu saya

Ya, hanya tunggu dan lihat, buntu saya jadinya, tambahan pula saya sudah perlu pulang ke Sarawak

Sekali lagi saya terpaksa meninggalkan isteri saya yang tengah berduka dan anak saya yang masih kritikal. Saya tiada pilihan, tugas saya sebagai Research assistant waktu itu membuatkan saya perlu balik, ditambah lagi dengan tugasan tugasan dakwah yang tertangguh.

Semasa di Sarawak

Hampir setiap malam saya bangun bertahajud memohon kesudahan dari cerita Ammar. Saya berdoa supaya Allah memberikan jalan keluar sambil bermuhasabah diri. Allah pasti akan kurniakan jalan keluar kepada hambanya yang bertakwa

..Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala masalah dan perkara yang menyusahkannya), dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka sangka... ( At-Thalaq 65:2-3)

"Adakah saya terlalu jauh dengan Allah sehingga Allah menelantarkan saya? Apakah dosa dosa saya dan isteri telah menjauhkan saya daripada Allah? Apakah sudah hilang perasaan cinta saya padaNYA?, Sudahkah saya menjadi hambanya yang bertakwa?"..Saya bermonolog sendirian.

Sungguh peristiwa ini benar benar telah menyedarkan status saya sebagai Hamba Rabbu Jalil. Seorang hamba yang tidak mampu berbuat apa apa ketika Rabbnya mengkendaki sesuatu

“Sesungguhnya urusan-Nya, apabila Dia mengkehendaki sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya , “Jadilah!” maka jadilah sesuatu itu. Maka Maha Suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nya kamu dikembalikan.” (Yaasiin 36:82-83)

20 oktober 2008

Kalau dihitung, sudah 46 hari usia Ammar, namun hidupnya hanya dihiasi dengan dinding kaca incubator, masih belum dapat merasa kelazatan susu umminya, badannya cuma dipakaikan dengan jarum jarum suntikan yang berserakan, sekejap terjaga dan kemudiaanya menangis, mungkin merenung masa depannya yang entah bagaimana..

Saya hilang fokus, saya hanya mampu berdoa..

"Ya Allah!, ku mohon kepada-MU kesudahan dari kisah hidup anakku, Ya Allah! hamba-Mu yang banyak berdosa lagi hina ini memohon ampun dari-Mu, Ya Allah! kurniakanlah yang terbaik untuk anakku, andai kematian itu yang terbaik untuknya, sungguh aku redha, kerana dia, aku, maupun isteriku semuanya milikMU, namun seandainya ada takdir lain untuknya, ku mohon KAU sembuhkanlah anakku, sungguh aku redha dengan ketentuanMU"..demikian doa saya dalam tahajud pada malam berikut

Keesokannya 21 Oktober 2008

"Abang, Dr telefon beritahu keadaan Ammar kritikal, Dr minta datang segera"..beritahu isteri saya melalui telefon

Ada orang nak hantar tak? tanya saya,

Saya khuatir kerana isteri saya baru sahaja habis pantang, ditambah lagi dengan keadaan emosi yang tak stabil, amat bahaya untuk memandu

"Tiada", tungkas isteri saya, semua kerja.

"Tapi kereta ada" tambahnya.

Tiada apa yang mampu menahan naluri seorang ibu untuk bertemu anaknya, andai ada badai maupun taufan yang datang menyerang tika itu, saya yakin, pasti akan diredahnya

Isteri saya memandu kereta sendirian, saya pasrah sambil berdoa. Dia memandu dengan linangan air mata, sedangkan saya hanya berdoa dari jauh

Sebuah pengorbanan dari seorang isteri yang akan saya kenang sehingga syahid menjemput saya.

"Bagaimana keadaan Ammar Dr?", tanya isteri saya kepada Dr disitu.

semua soktor di wad pediatrik itu sudah mengenali Ammar kerana dia yang paling 'senior' disitu.

"Kritikal!, cuma bergantung pada bantuan oksigen"..jawab Dr

"Saya sudah hendak cabut bantuan pernafasan, cuma menunggu parentnya tiba"..sambung Dr menerangkan.

Meledaklah tangisan isteri saya, mujur ada kakaknya yang bertugas sebagai Dr praktikal tika itu menenangkannya.

Tidak lama kemudian, Ibu dan ayah tiba, semuanya sudah dibenarkan masuk ke ICU tersebut, yang sebelum ini hanya dikhususkan untuk parent sahaja.

Kaki Ammar sudah mula sejuk, tapak kakinya terasa kebas, mukanya sudah mula pucat, Malaikat Maut sedang berusaha mencabut nyawa si Mujahid kecil ini..

Akhirnya,

tepat jam 1646, di pangkuan ibu saya, Mujahid kecil Muhammad Ammar Ar-Ridho pergi menemui Rabbnya, pemergian yang hakiki bertemu penciptanya..

Sungguh kau telah pergi wahai mujahidku,
Menemui Rabb yang menciptakanmu,
Hanya satu pinta Abi dan Ummi,
dapat bersamamu di syurga nanti.

Demikian saya dedikasikan sejuta tahniah dan kebanggaan yang tidak terhingga buat isteri saya yang benar benar tabah mengharungi semua ini seorang diri.

Untuk isteri saya,

Ammar telah pergi meninggalkan kita, JANNAH sudah pasti menjadi tempat permainannya, namun dimanakah kita ketika itu??, Adakah bersamanya atau sebaliknya??..berusahalah untuk merebut Jannahnya, mudahan mudah dapat bertemu Di Sana...

Sekian, wallhua'lam

sempena setahun kelahiran Mujahid Ammar Ar-Ridho yang telah pergi menemui Rabbnya pada 21 oktober 2008 bersamaan 21 syawal 1429H

Abu Ridho.
5 September 2009

teruskan membaca...

Merdekakah kita?

>> Tuesday, September 1


Merdeka!..
Merdeka!..
Merdeka!..

Begitulah laungan bersejarah tanggal 31 Ogos 1957, Bendera Union Jack iaitu bendera British diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur tepat pukul 12 malam 31 Ogos 1957. Pada tanggal tersebut, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan penuh bersemangat dan lantangnya melaungkan laugan hikmat penuh makna, bergema menongkah alam buana.

Merdeka! Merdeka!Merdeka!

Laungannya disambut dengan penuh wibawa. Kedengaran laungan ini di mana mana diselang selikan dengan laungan takbir oleh anak Melayu yang punya kesedaran Islam

Allaaaahuakbar! Allaaaahuakbar! Allaaaahuakbar!

Alam seakan terkejut dengan laungan itu, seluruh alam seolah olah meyahut bersama, burung burung pun berkicauan turut menyahut laungan penuh makna, Duke of Gloucester dan Sir Donald MacGillivray yang mewakili kerajaan British kelihatan terpukau dengan kobaran semangat anak Melayu. Ya, kobaran semangat anak Melayu yang menyaksikan perjuangan suci membebaskan negara dari cengkaman penjajah.

Perjuangan yang disirami dengan darah dan air mata sejak dari era penjajahan, bermula dengan penjajahan portugis (1511) oleh Alfonso de Burqe, Belanda, Inggeris, Jepun, Bintang tiga dan terakhir British. Sejarah telah mengukir indah nama nama seperti Dato' Maharjalela, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Dato' Bahaman dan Mat Kilau yang berjuang menentang penjajah pada era penjajahan Inggeris. Begitu juga dengan tokoh pejuang kemerdekaan moden tika itu seperti Dr. Buhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Abu Bakar Baqir, Shamsiah Fakeh, Dato' Husein Onn dan lain lain lagi. Nama nama ini tak kan pernah hilang dari kamus sejarah kemerdekaan.


Tanpa disedari linangan air mata membasahi pipi anak Melayu tika itu. Stadium Merdeka dibanjiri oleh anak-anak bangsa yang datang dari setiap pelusuk negeri. Ada yang berbasikal dan kebanyakannya berjalan kaki. Kelihatan para ibu mendukung anak anak mereka dengan keringat membasahi pipi. Masing-masing hadir dengan harapan yang tinggi. Menjadi saksi, satu peristiwa yang penuh bererti, yang tidak akan dilupai tersemat disanubari sampai mati. Merdeka telah kita miliki 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Begitulah senario yang berlaku tepat 52 tahun yang lalu.

Sekarang mari kita renungi senario kemerdekaan era 2000. Kemerdekaan yang disambut oleh generasi pasca merdeka yang lahir sesudah merdeka.

Laungan hikmat masih sama kedengaran oleh anak melayu kini, tepat 12 tengah malam pada 31 ogos saban tahun pasti akan diraikan hari kemerdekaan dengan pekikan

Merdeka! Merdeka! Merdeka.

Namun, laungan ini sepi tanpa makna. Dilaungkan tanpa perasaan perjuangan, hanya sekadar retorika yang menghiasi rutin acara kemerdekaan. Kenapa?

Sambutan hari kemerdekaan yang acapkali diadakan di Dataran Merdeka pada tengah malam , kononnnya untuk countdown (kira detik 12 tgh malam) sering disudahi dengan adegan yang tidak selari dengan prinsip kemerdekaan.

Anak anak muda bergaul bebas, berpakaian tidak senonoh, berpegangan tangan berlainan jantina sambil melaungkan Merdeka! Merdeka!Merdeka!..

Sungguh memalukan!..

Biasanya agenda ini akan diteruskan sehingga larut malam bersama hidangan arak penyedap selera, disudahi dengan zina berlainan jantina maupun sesama jantina, wali'yazubullah.

Lalu, dimana nilai merdeka?

Pemikiran anak bangsa kita kian terjajah, biarpun Barat sudah tidak menguasai kita dari segi fizikal namun dari segi mental kita masih terjajah. Ya, mental anak bangsa kita terjajah.

Tanyakan saja siaran televisyen yang digemarinya?, tanyakan saja fesyen yang paling disukai,? silakan bertanya artis yang paling diminatinya?, dan lihat saja budaya hidup mereka?

Pasti jawapannya, siaran yang digemarinya AXN, HBO, cinemax atau mungkin Hitz.TV, untung saja kalau ada yang menjawab, " saya suka tengok siaran OASIS". Mungkin ada tapi 1:1000, wallahua'lam.

Fesyen yang paling disukai?, pastinya yang seksi dan menggoda, artis yang diminati?, tentunya artis artis dari barat, untung saja kalau ada yang menjawab "saya suka Raihan".

Budaya hidup?, tentunya yang bebas tanpa konkongan baik dari ibu bapa atau siapa sahaja. Clubbing bukan lagi budaya asing bagi anak Melayu, lihat saja pub yang tumbuh bagai cendawan di sekitar Kuala Lumpur.

Lalu, apakah kita sudah merdeka?

Sehingga kini kita masih belum yakin dengan sistem keadilan Islam, malahan masih menggunapakai sistem' keadilan penjajah.

Lihat saja kes Kartika Sari Dewi Shukarno baru baru ini, ketika Mahkamah Syariah Pahang menjatuhkan hukuman rotan terhadap pesalah kerana meminum arak secara terbuka di salah sebuah pusat peranginan di negeri tersebut.


Ketika hukuman tersebut dijatuhkan, melentinglah beberapa pihak yang tidak berpuas hati terhadap hukuman yang dijatuhkan. NGO seperti Sisters in Islam mempersoalkan kewajaran dan nilai keadilan hukuman yang telah diputuskan oleh Mahkamah Syariah Pahang itu. Beberapa tokoh individu lain juga mempertikaikannya.

Kenapa mereka tidak berpuas hati?

Tidak lain hanyalah kerana keputusan itu dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dan berlandaskan hukum Islam. Mereka mahukan satu sistem keadilan yang lain yang mereka yakini tidak mendera dan wajar menurut perspektif mereka.

Hukum Islam menurut mereka adalah sistem lapuk yang ketinggalan zaman dan sistem penjajah adalah lebih baik dan utama untuk diamalkan.

Sekali lagi, merdekakah kita?

52 tahun sudah berlalu, negara kita sudah merdeka, laungan keramat, Merdeka! Merdeka! Merdeka! saban tahun kedengaran, namun amat dikesalkan kerana jiwa anak bangsa kita masih terjajah. Ya, masih terjajah, terjajah dengan budaya dan pemikiran penjajah..



Terakhirnya,

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak yang bertanggungjawab kerana tidak menganjurkan sambutan kemerdekaan di dataran merdeka dan KLCC pada tengah malam tahun ini kerana menghormati bulan Ramadhan. Adalah amat diharapkan, keadaan ini akan diteruskan walaupun kemerdekaan pada tahun berikutnya bukan lagi di bulan Ramadhan. Adalah menjadi sesuatu yang lebih murni sekiranya sambutan kemerdekaan dilakukan pada pagi hari tanpa dicemari dengan perlakuan bebas muda mudi yang rosak akhlaknya.

Wallahua'lam

Abu Ridho
31 Ogos 2009

teruskan membaca...

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP