PAS, Daulah Islamiyah dan Jama'atul Muslimin (bahagian 3)

>> Friday, January 22

Salam kepada pembaca Pena Mujahid, sudah lama rasanya saya tidak men update blog ini. Saya sudahkan perbincangan tentang Jamatul Muslimin pada pebincangan kali ini. Insya Allah, saya sedang menyiapkan post saya yang tertangguh 'Diari Cinta Pengantin Baru', nantikan episod akhirnya. Selamat menyimak perbincangan ini.


Jamaatul Muslimin Menurut Bahasa dan Syariat


Jamaah secara bahasa boleh diertikan dengan "sejumlah besar manusia" @ "sekelompok manusia yang berhimpun untuk mencapai tujuan yang sama", berbeza dengan tajammu', tajammu' juga bermaksud sekelompok manusia yang berhimpun tetapi masing masing peserta perhimpunan mempunyai pandangan dan prinsip masing masing dan tidak didasari dengan rencana dan matlamat yang jelas.

Maka, bagi sesiapa yang berpendapat bahawa didalam Islam tidak perlu berjemaah, hanya perlu mengumpulkan manusia untuk diberi kefahaman Islam (tajammu') dan terpulang kepada setiap individu dengan haluan masing masing, maka dia secara sendirinya tidak termasuk dalam perbahasan tentang Jemaah ini.

Pernah saya mendengar ceramah dari beberapa asatiz yang seolah seolah mengkritik Jemaah, teringat saya kata kata seorang ustaz lepasan Uni. Mad, walaupun tidak semua lepasan Uni. Mad berfikiran sebegitu (jangan cepat menghukum!)

katanya .." Ustaz tak suka jemaah jemaah ni, saling tak sependapat dan sikit sikit bertengkar dengan yang lain, ustaz suka solo, ajak orang buat baik, senang tak yah gaduh gaduh", begitulah lebih kurang bunyinya.

Dan pendapatnya dipersetujui segelintir pelajar kampus, akibatnya ada dikalangan pelajar pelajar kampus yang tidak mahu mengikuti usrah usrah dan halaqah halaqah yang dikelolakan 'Jemaah Jemaah'. Sebabnya, ya, lebih MUDAH, tidak perlu disiplin, tidak perlu komitmen, tidak perlukan ketaatan, bila rasa nak datang ceramah datang lah, bila rasa tak nak, tak perlulah.

Usrah, juga dikenali sebagai halaqah (gambar hiasan)

Saya katakan, mereka ini adalah golongan orang yang lemah ketahanan mentalnya (maaf kalau terkasar bahasa), kerana apa?,

kerana halaqah atau usrah mengajarkan tentang erti komitmen, perlu menyusun masa untuk tetap hadir usrah tanpa sebarang alasan, halaqah juga mengajar erti disiplin, perlu hadir halaqah setiap minggu dan perlu menepati waktu, halaqah juga mengajarkan erti kerjasama berpersatuan, mengajar erti ukhwah, mengajar bagaimana seharusnya tatacara berorganisasi, juga mengatur hubungan antara jundi dan qaid. Seandainya mereka tidak bersedia untuk menghadapi semua ini, maka kekuatan mental mereka perlu ditingkatkan lagi, supaya mereka tidak hanya berfikir untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain khususnya untuk ummat.

Apakah Rasulullah menganjurkan umatnya hanya ber tajammu' bukan berjemaah?, apakah yang ditunjukkan rasul hanya mengumpulkan sahabat sahabat tanpa sebarang pengarahan?, bagaimana mungkin tanpa pengarahan, seorang sahabat besar seperti Musab bin Umair diutuskan ke Madinah?, bagaimana pula dengan Ja'bar bin Abi Talib yang dituskan ke Habsyah dan menyampaikan ajaran Islam disana?, bagaimana pula dengan ucapan masyhur Umar Alkhatab

"..tidak ada Islam kecuali dengan Jamaah, tidak ada jamaah kecuali dengan kepimpinan dan tidak adakepimpinan kecuali denngan ketaatan" (Ad-Darimi)

Saya tinggalkan jawapannya untuk para pembaca dan saya sudahkan perbahasan ini sampai disini sahaja kerana khuatir perbahasan ini lari dari topik sebenar perbincangan.

Foto: Ustaz Shahrizan, sahabat baik saya dan teman seperjuangan Maktab Mahmud, sekarang sedang melanjutkan pengajian Master Syariah di Universiti Al-Azhar (sekadar gambar hiasan)


Jamatul Muslimin menurut syariat

Imam Syatibi mengeluarkan beberpa takrifan tentang Jamaah setelah meneliti beberapa hadis Rasululllah SAW tentang Jamaah dan kemudiannya beliau berkomentar bahawa yang dimaksudkan dengan Jamaah ialah Jamaatul Muslimin dan pendapat ini disokong oleh Ibn Hajar (boleh rujuk Menuju Jamaatul Muslimin, Husain Ali Jabir, m/s 32)

Jadi, apa Jamatul Muslimin itu?

Jamaatul Muslimin itu adalah Jamaah ahlul aqdi wal hilli apabila menyepekati seorang khalifah umat, dan umat pun mengikuti mereka. Ertinya, Jamaatul Muslimin adalah jamaah umat Islam yang dipandu oleh Khalifah dan umat Islam wajib memberi ketaatan kepadanya.

Oleh yang demikian ,perlu difahami bahawa kebanyakan hadis yang menceritakan tentang jamaah adalah bermaksud Jamaatul Muslimin dan kita tidak boleh sewenangnya membuat penafsiran bahawa yang dimaksudkan oleh hadis adalah "Jamaah Kita".

Saya kemukakan contoh hadis yang sering digunakan oleh sekelompok Jamaah guna menakut nakutkan orang yang berintima' (bergabung) dengannya

Tidak halal darah seorang Muslim kecuali kerana tiga hal.....dan orang yang keluar dari agama dan meninggalkan jamaah ( HR Bukhari dan Muslim)

Sedihnya, pernah rakan saya memberitahu dia pernah mendengar perbahasan tentang hadis ini, yang bunyinya lebih kurang begini " Maka barangsiapa yang keluar dari Jamaah ini, setelah dia berbaiat, maka seolah olah layaknya dia dibunuh (berpandukan hadis) , menunjukkan betapa besarnya dosa keluar dari barisan Jamaah ini".

Yang tambah menyedihkan, ada dikalangan mereka yang hanya sempat 'kenal' Jamaah 3 bulan, ada 2 bulan , ada sebulan, ada juga seminggu dan kemudiannya langsung diminta untuk berbaiah taat setia kepada Jemaah dan bila hendak keluar diancam dengan kalam rasul tersebut.

Juga hadis yang lain yang diriwayatkan dari al-Harith al Asy'ari, Rasulullah SAW bersabda

" ......barangsiapa yang kelur dari Jamaah sejengkal sahaja, maka ia telah melepaskan ikatan Islam dari lehernya, sehingga ia kembali lagi..", mereka bertanya "Wahai Rasulullah, sekalipun dia solat dan puasa?", Rasulullah saw bersabda "sekalipun dia puasa, solat dan mengaku Muslim" ( HR Ahmad)

Sebenarnya, masih banyak lagi ayat ayat dan hadis hadis lain berkaitan wajibnya menegakkan Jamaah dalam kehidupan umat, sekaligus menjelaskan bahawa surutnya kehadiran Jamaatul Muslimin akan membawa perpecahan, kehinaan dan kenistapaan di dunia dan siksa pedih di akhirat.

Namun, nash nash yang demikian bukanlah dimaksudkan seperti kefahaman mereka yang menisbahkan Jamaah kepada Jamaah mereka, sungguh rancu pemahaman seperti ini, dan saya setuju dengan penerangan Syeikh Hussain Jabir dalam bukunya bahawa nash nash yang disebutkan memperingatkan bahawa umat Islam menanggung dosa akibat tidak bersegera menegakkannya dan berusaha mewujudkannya

Persoalannya sekarang, adakah wujud Jama'atul Muslimin di dunia sekarang?

Menurut Syeikh Husain bin Muhammad bin Ali Jabir, sesuai dengan pengertian yang dijelaskan, maka Jamaatul Muslimin boleh dikatakan tidak ada lagi sekarang ini, yang ada hanyalah Jamaah min Jamaatil Muslimin (Jemaah jemaah umat Islam).

Di skala internasional, Jamaah Jamaah umat Islam yang masyhur dewasa ini adalah seperti Jamaah Ikwanul Muslimin, Anshar as Sunnah Al Muhammadiyah, Jamaah Tabligh dan Hizbu Tahrir. Jamaah Jamah ini dalam pengertian syarie adalah Jamaatun min Jamaatil Muslimin.

Apa buktinya?

Setelah jatuhnya Khalifah Islamiyah pada 1924 M, maka negeri negeri Islam terpecah dan menjalankan urus tadbirnya secara bersendirian tanpa ada koordinasi antara negara negara Islam. Islam tidak mengakui melainkan satu pemerintahan yang memerintah umat, bahkan Islam meminta membunuh penguasa secara langsung seandainya terdapat dua pemerintahan, sebagaimana yang dijelaskan oleh nash nash syariat, semak hadis berikut

Dari abu Said Al Khudri, Rasulullah saw bersabda "Apabila dibaiat kepada dua orang khalifah, maka bunuhlah khalifah yang terakhir dari keduanya" (HR Muslim)

Imam Nawawi mengomentar hadis ini, yang dimaksudkan dengan dengan hadis ini ialah apabila ada seorang khalifah yang dibaiat setelah ada khalifah, maka baiat pertama sah dan wajib ditaati sedangkan baiat kedua dinyatakan batil dan diharamkan taat kepadanya.

Kesimpulannya, pemerintahan Islam secara umum dalam bentuk Jamaatul Muslimin tidak ada di dunia dewasa ini, maka mewujudkannya adalah fardhu ain bagi umat Islam seluruhnya sampai ia tegak dan termasuk juga dalamnya adalah mengetahui bagaimana jalan menegakkannya dan bagaimanakah ciri ciri Jamatul Muslimin itu.

Di coretan yang sederhana ini, saya tidak bercadang membincangkan tentang jalan jalan dan ciri ciri nya, kerana perbahasannya terlalu panjang, silalah meyimak buku Menuju Jamaatul Muslimin karangan Syeikh Hussain bin Muhammad bin Ali Jabir.

Sekarang, Jamaah apa yang sedang memperjuangkan Islam?

Di antara Jamaah Jamaah terpenting dalam memperjuangkan Islam setelah runtuhnya Khilafah Islamiyah ialah

1. Jamaah Anshar As Sunnah Al Muhammadiyah
2. Hizbu Tahrir
3. Jamaah Tabligh
4. Jamaah Ikhwanul Muslimin

Saya juga tidak bercadang untuk membahas satu persatu tentang setiap Jamaah Jamaah ini , mengikut Syeikh Husain Jabir, Jamaah Ikhwanul Muslimin (JIM) mempunyai pengikut paling ramai. Dr richard Mitchel melaporkan jumlah anggota JIM pada tahun 1948-1950 mencecah 1.000.000 orang, tentu tak terbanyangkan berapa jumlahnya kalau sekarang. Prof Dr Muhammad Badi' dalam ucaptama beliau ketika dilantik sebagai Mursyidul Am ke-8 Ikhwanul Muslimin baru baru ini menegasakan bahawa Ikhwanul Muslimin adalah salah satu Jamaah dari Jamaah Umat Islam bukan Jamaatul Muslimin, kerana sesebuah Jamaah tidak boleh memonopoli Islam. Namun, harus difahami bahawa JIM sedang berusaha menuju Jamaatul Muslimin

Prof. Dr. Muhammad Badi’ Abdul Majid Saamy, Mursyid Am Ke Lapan bagi jemaah Ikhwan Muslimin. Beliau merupakan Profesor dalam bidang Veterinary Science (Kedoktoran Haiwan)

Syeikh Husin Jabir juga mengatakan bahawa JIM mempunyai kelebihan berbanding dengan Jamaah Jamaah yang lain kerana ia memperjuangkan seluruh ajaran Islam. JIM tidak hanya menguasai politik, memberi bimbingan, nasihat dan sosial sahaja, namun dakwahnya menghimpun seluruh tuntutan Islam dan ajarannya.

Saya cukupkan perbincangan kita sampai disini dahulu untuk artikel saya ini. Segala kekurangan atau kesalahan pola fikir sesetengah Jamaah yang saya ungkapkan dalam perbahasan saya adalah dengan sengaja saya tidak kemukakan nama Jamaah Jamaah tersebut, saya berharap tidak ada pihak yang menuding jari kepada sesiapa pun, melainkan hanya mengambil ibrah dari contoh yang diberikan supaya kesilapan yang pernah berlaku tidak berulang kepada setiap aktivis dakwah walau apapun platform yang digunakan.

Yang pasti, kita berharap, kita dapat bergabung ke dalam sebuah Jamaah yang sedang merealisasikan impian menuju JAMAATUL MUSLIMIN.

Wallahua'lam

Abu Redha
Kota Samarahan Sarawak

2 comments:

mambi86 January 22, 2010 at 9:38 PM  

syukran. artikel antum ini memberi kefahaman kepada ana tentang jemaah.

imammuda January 23, 2010 at 10:21 AM  

syukran, mengingatkan ana tentang buku jamaatul muslimin yang sudah ana selesai baca hampir 3 tahun lepas. Moga kita berpadu di bawah naungan jamaatul muslimin yang diredhai Allah.

Post a Comment

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP