Padahnya kalau hanya bersemangat..

>> Tuesday, February 2



Membaca blog aduka taruna membuat jiwa saya pedih, tak tertahan lagi air mata ini melihat isteri rasulullah dihinakan sebegitu, melihat Muawiyah, seorang sahabat besar nabi dikutuk sewenangnya, juga seorang ulamak ulung Imam syafie r.a

Aisyah r.a dan Muawiyah r.a disebut dengan ekor mangkuk, bangang tukil, bangang nak mampos..Astaghfirullah, barangkali dia lupa yang sedang dihinakannya adalah seorang isteri dan seorang sahabat ulung Rasulullah

Barangkali dia lupa atau tidak tahu bahwa Aisyah r.a pernah dibela langsung oleh Allah dengan penurunan kalamnya dalam peristiwa hadith ifki

"Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari kalangan kamu juga...(24:11-20)

Mendengar ayat ini, Aisyah r.a tersangatlah gembira, tidak pernah terlintas di hatinya bahawa Allah S.W.T akn menurunkan 'Kalam-Nya' yang akan dibacakan sehingga kiamat demi membelanya.

Mungkin juga dia tidak tahu bahawa Aisyah dan Muawiyah merupakan periwayat hadis yang masyhur, bahkan Muawiyah dilantik langsung oleh rasulullah sebagai penulis wahyu baginda

Kata Abu Sufyan kepada Nabi saw:.... dan Muawiyah engkau jadikan dia penulis di hadapanmu”. Sabda baginda: “Ya”. (Sahih, Riwayat Muslim)

Hadis juga memberi pujian terhadap Muawiyah kerana dia termasuk dalam angkatan pertama berperang menggunakan armada laut

Umair berkata: “Telah menceritakan kepada kami Umm Haram, bahawa dia telah mendengar Nabi saw bersabda: “Tentera yang pertama di kalangan umatku yang berperang di laut wajiblah bagi mereka itu syurga................”. (Riwayat al-Bukhari )

Allah Yang Maha Mengetahui telah mentakdirkan bahawa peperangan umat Nabi saw yang pertama di laut ialah peperangan Cyprus, dan Umm Haram telah menyertainya dan panglima tentera Islam dalam peperangan itu ialah Muawiyah bin Abi Sufyan. Ia berlaku pada zaman pemerintahan Saidina Uthman bin Affan. Turut serta dalam peperangan itu ialah Abu Dhar, Abu Darda dan beberapa sahabat yang lain. Peperangan ini terjadi pada tahun 27 Hijrah. Muawiyah yang menjadi amir ketika itu, turun sendiri ke medan peperangan bersama isterinya.

Subhanallah, apakah setelah semua ini mereka layak dihinakan sebegitu. Itulah padahnya orang berbicara tanpa ilmu.


Sekadar gambar hiasan: Foto; KD Perantau milik TLDM, kapal yang saya gunakan untuk mengambil sampel dalam salah sebuah ekspedisi kajian saintifik (EPSP09) di Laut Sulu dan Sulawesi, Sabah

Akhirnya, dia dibicarakan kerana menghina Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor bukan kerana menghina isteri dan sahabat nabi radiyallhuanhum.

Ya, menghina orang yang sudah meninggal tambahan lagi Sultan yang memerintah memang wajib dipersoalkan namun menghina isteri dan sahabat Rasulullah itu lebih wajib dipersoalkan. Mungkin dek kerana sensitiviti Melayu yang menebal telah mengalahkan sensitiviti Islam yang patut kita julung bersama

Akhir kalam, saya berpesan kepada para bloggers yang lain, bak kata pepatah Melayu

" Bahasa itu jiwa bangsa"

Gunakanlah bahasa yang penuh hikmah demi memberi maklumat kepada orang ramai, olah lah bahasa sebaiknya walau kesumat manapun dendam di jiwa.

Wallhua'lam, sekadar coretan di petang hari

Abu Redha
Lab Analytical Chemistry
Universiti Malaysia Sarawak

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP