Komponen komponen dalam 'bangunan' dakwah

>> Sunday, March 21


Maksudnya

Katakanlah (wahai Muhammad), inilah jalanku, Aku dan pengikut pengikutku menyeru (kamu) kepada Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata, , Maha Suci Allah Aku tidak termasuk dalam golongan musyrik (Yusuf 12:108).

Dalam surah Yusuf ayat yang ke 108 (ayat di atas) dijelaskan beberapa 'anasir dakwah atau komponen komponen penting dalam sebuah dakwah. Ayat ini ditafsirkan oleh ulamak dakwah untuk menggambarkan manhaj dan komponen komponen yang perlu ada dalam sebuah gerakan dakwah.

Saya pecahkan kepada beberapa bahagian untuk memudahkan pembaca memahaminya


Qul( Katakanlah) = Syar'iyah ad-da'wah (syariat dakwah)

Kata Qul yang mengawali ayat ini bermakna 'katakanlah', bentuk perkataan ini adalah fi'il amr, sebuah kata kerja yang bererti 'perintah'. Dalam kaitannya dengan dakwah kata ini merupakan syar'iyah ad-da'wah (syariat dakwah). Perintah dan aturan yang disebutkan setelah perkataan Qul adalah sesuatu yang perlu diperhatikan kerana mengandungi kepentingan bagi kita.

Dari ayat ini, penyataan setelah kata Qul menjelaskan tentang unsur unsur penting dalam sebuah bangunan dakwah iaitu pemimpin, pengikut, tujuan, manhaj dan sikap aktivis dakwah.

Perkataan seterusnya adalah....

haadziihi sabili (ini adalah jalanku) : Risalah Da'wah (misi dakwah)

Setelah kata Qul (katakanlah wahai Muhammad),

Apa yang Allah suruh Rasulullah SAW katakan?

haadziiihi sabili, (ini adalah jalanku), bererti jalan yang dilalui Rasulullah SAW. Maka dakwah yang dilalui oleh Rasulullah SAW adalah dakwah yang perlu dilalui oleh setiap muslim dan para da'inya, tiada jalan lain.

Risalah da'wah (misi dakwah) yang hendak dibawa haruslah selari dengan jalan yang telah ditempuh Rasul.

Bagaimana?

Kita telusuri ayat seterusnya...

Ad'uu (aku menyeru): al-harakah al mustamirah (gerakan yang berterusan)

Amalnya adalah sentiasa menyeru manusia kepada Allah. Harus difahami perkataan ad'uu dalam ayat di atas adalah dalam bentuk fiil mudhari' (present continuos tense) sebuah kata kerja yang berlaku hari ini esok dan masa akan datang.

Apa maksudnya?

Amal dakwah yang dilakukan hendaklah terus menerus tanpa henti. Sebuah gerakan dakwah harus memerhatikan aspek ini supaya ia terus menerus bergerak (al-harakah al mustamirah). Oleh kerana itu, apabila dakwah terus berjalan maka dakwah itu tidak akan mandul atau berkurangnya pengikut.

Tak cukup dengan sekadar mengajak dan menyeru, perlu jelas hendak menyeru kemana.

Jadi, kemana?

Jawapannya dalam perkataan berikutnya..

Ilallaah (kepada Allah): Al ghayaah as-sahihah (tujuan yang benar)

Tujuan dakwah yang dibawa haruslah benar iaitu mengajak kepada Allah. Seringkali terjadi penyimpangan daam hal ini. Daripada penyakit penyakit dakwah (min amradh da'wah) adalah ad'uu ilayya atau ilaina.

Maksudnya mengajak kepada saya ilayya (peribadi) contohnya dengan menaikkan tokoh tokoh tertentu, tetapi bila tokoh itu keluar atau meninggal maka dakwah pun terkubur, begitu juga kalau mengajak kepada kami ilaina (jemaah) contohnya mengajak pengikutnya taasub dengan jemaah.

Perlu difahami bahawa syakhsiah dan jemaah hanyalah wasilah dakwah.Dakwah Ilallah adalah dakwah yang mengajak mad'u untuk selalu dekat dengan Al Quran dan sunnah sehingga mereka bangun membelanya bukan hanya membela jemaah semata.

Setelah kita mengetahui tugas kita iaitu menyeru kepada Allah, persoalan seterusnya adalah;

Bagaimana?, apa panduannya?

Simak perkataan seterusnya..

'Alaa Bashiirah : Al-Minhaj Al Waadhih (manhaj /panduan yang jelas)

Dakwah yang dilakukan harus berdasakan manhaj yang jelas, petunjuk yang benar, serta panduan yang lengkap. Makanya, rujukan yang paling utama adalah Al Quran dan sunnah.

Dengan demikian dakwah harus berjalan berdasarkan Al-Minhaj Al Waadhih (manhaj /panduan) yang jelas selari dengan Al Quran dan sunnah.

Beberapa contoh manhaj yang jelas selari dengan Al Quran dan sunnah adalah seperti dakwah yang dilakukan mengikuti marhalah, contohnya dakwah rasul yang membangunkan generasi ta'sis di Mekah sehinggalah Islam menjadi peneraju dunia (ustaziyatul alam).

Dan dalam usaha dakwah ini, Rasulullah tidak berseorangan, Rasulullah SAW mengajarkan satu konsep penting.

Apa konsepnya?

BERJEMAAH dan AMAL JAMAIE

Telusuri perkataan seterusnya..

Ana (saya): Al Qiyadah Al-Mukhlisah (pemimpin yang ikhlas)

Wa Man Ittabaa'ni (dan orang orang yang mengikuti saya):
Al Jundiyah Al Muthii'ah (pasukan/ahli jemaah yang patuh)


Ana di sini adalah Rasulullah SAW, seorang pemimpin yang ikhlas dalam dakwah Al Qiyadah Al-Mukhlisah. Pemimpin adalah orang yang memimpin jemaah beserta pengikutnya.

Ciri utama yang harus dimiliki pemimpin adalah ikhlas. Dengan keikhlasan, pemimpin dapat membawa jemaah dengan baik jauh dari penyimpangan.

Pemimpin yang ikhlas harus diikuti oleh anggota yang taat (al jundiyah al muthii'ah), kerana pengikut yang tidak taat tidak akan dapat membangun sebuah bangunan dakwah. Contoh generasi terbaik adalah generasi jemaah sahabat yang dipimpin langsung oleh Rasulullah SAW.

Ketaatan yang ditunjukkan mereka telah membangunkan Islam di dunia tika itu.

Selain itu ada sikap lain yang perlu ada pada jurubuna dakwah ini..

Apa sikapnya?

semak perkataan berikutnya..

Subhanallah (Maha suci Allah) : At Tajarrud (menyerahkan diri kepada Allah)

Wa Maa Ana Min Al Musyrikin (Saya tidak akan syirik):
At Tauhid (Mengesakan Allah
)

Maha suci Allah adalah sikap tajarrud pengikut maupun pemimpin dakwah. Aktivis dakwah harus sentiasa mensucikan Allah dengan perbuatan, pemikiran dan akhlaknya.

Sikap aktivis dakwah yang berikutnya adalah tidak menjadikan dirinya orang yang musyrik. Baik syirik kecil maupun berat. Syirik kecil adalah seperti riyak ketika melihat keberhasilan kerja dakwahnya.

Aktivis dakwah seharusnya mentauhidkan Allah semata. Tauhid ini harus mewarnai pemikiran akhlak dan ruhani setiap aktivis dakwah.

Kesimpulan

Saya simpulkan perbincangan ini dengan gambarah di bawah




Wallahua'lam,
Abu Redha
Sarawak


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP