Sekadar Coretan Kenangan

>> Friday, July 23


Kolej Matrikulasi Perak


KMPk, menyimpan pelbagai memori suka dan duka, bermulanya episod baru sebuah kehidupan, mengajar saya erti hidup sebagai hamba sang pencipta.

Suasana ketika hari pendaftaran di KMPk

Di sini saya bertemu tarbiyah, disini saya dihalaqahkan dan disini saya membina diri menjadi 'somebody' kepada umat.

Disini saya bertemu Akh Murabbi Dr Hizul, pertama kali mendengar pengisiannya dengan dihiasi ayat ayat Quran yang menitir dibibirnya membuatkan hati ini luluh, terasa diri ini ingin berubah, terasa sesuatu perlu dilakukan untuk menyelamatkan umat ini (masih ingat, pengisian pertama tentang 'ghuzul fikr'). Dan disinilah bermulanya perjalanan baru saya yang menjadikan diri saya pada hari ini..

Saya mula mengumpulkan orang untuk ditarbiyah, beberapa rakan rakan sekuliah akhirnya berjaya ditarbiyah, antaranya akh aizam yang kini mengalami kecederaan.

Bertemu dengan akh aizam, pertama kalinya selepas ceramah Dr Hizul. Ketika itu beliau memegang jawatan exco kerohanian JPP KMPk, beliau menghulurkan wang saguhati kepada penceramah (dr hizul), kalau tak salah RM 300, Dr hizul menolaknya dan minta wang itu digunakan untuk aktiviti aktiviti dakwah.

Melihat akh aizam dan potensinya, tambahan beliau sebagai exco kerohanian kolej, saya pun tanpa berlengah lagi cuba mengajak beliau untuk 'join' halaqah. Bahkan tindakan saya lebih drastik, dengan mengajaknya menyertai 'syura' KMPk ketika itu. Kelihatan dia agak terpinga pinga dengan 'jawatan' barunya itu.

Setahun ditarbiyah, membuatkan kami semakin matang. Pelbagai ragam ikhwah mula kelihatan, ada yang agresif, ada yang 'sempoi', ada yang bersemangat dan lain lain lagi. Masih ingat, saya pada akh zikri, seusai saja solat jumaaat, akh ini lantas mencapai mikrofon dan berceramah menyatakan ketidaksetujuannya dengan majlis tarian yang dianjurkan oleh pihak kolej didewan bersebelahan masjid. Akh ini juga pernah naik jumpa pengarah kolej. Hebat! Hebat!

Masih banyak lagi kenangan bersama, yang tak tercoretkan oleh saya disini.

Hampir setahun, saya berfikir, bagaimana kesinambungan tarbiyah saya selepas keluar dari KMPk ini, berbincang dengan akh Hizul dan akh Ipin, akhirnya keluarlah resolusi bahawa saya dan beberapa ikhwah lain perlu ke Unimas,

"disana tempatnya strategik, berdekatan UiTM dan Maktab, insya Allah boleh menjadi tempat yang subur untuk dakwah, tambahan lagi di sana tak ramai yang berdakwah"..kata akh Hizul

"Nak mulakan dakwah di tempat baru, mampukah!", saya berfikir sendirian, mungkin Allah berkehendakkan untuk memberi pahalanya kepada saya dan ikhwah ikhwah.

Arahan diterima, saya melobi ikhwah ikhwah untuk turun beramai ramai ke UNIMAS, alhamdulillah, ramai yang menyahut, akh hisyam, akh munaim (walau disaat akhir bersetuju), akh Faridi, akh Fakrur Razi, dan Akh Aizam.

Akh Aizam pernah bertanya saya

" Akh ana nak ambik farmasi, tapi kos tu tak da kat Unimas, macam mana?"

" Ambik kos lain" jawab saya

Alhamdulillah, beliau telah memilih pendidikan matematik sebagai kos pilihannya, Akh ini memang cekap matematik dan memang menjadi tempat rujuk untuk sebarang masalah matematik.

Bagi saya, beliau telah berkorban untuk dakwah dengan mengabaikan kos pilihannya semata mata untuk datang ke Sarawak dan berdakwah disini.

Universiti Malaysia Sarawak


Universiti Malaysia Sarawak

Kami mula mengatur dakwah di Unimas, masing masing mencari madu' dan set up halaqah. Dalam usaha ini, terasa manisnya ukhwah bersama ikhwah ikhwah. Kehangatan iman dan dakwah dirasa bersama.

Tak terlepas juga dari fitnah dan angkara.

'Antum wahabi sebab solat tak pakai kopiah'.. 'Antum hizbu tahrir, sesat.'..

Kemudian ditampal poster dan risalah disekeliling surau bertujuan untuk melumpuhkan dakwah yang cuba kami bina.

Namun, semua itu sudah berlalu meninggal memori suka dan duka dan sekarang biar AMAL KITA yang berbicara.

Alhamdulillah, setelah lima tahun pelbagai strategi dirangka, dakwah mula subur, ikhwah dan akhawat mula ramai, jangkauan dakwah mula melebar, bukan sahaja di Unimas Samarahan, bahkan ke Kuching, Sibu dan Rajang. Miri juga pernah di jangkaui.

Dan sekarang bersama kafilah dakwah ISMA, dakwah mula masuk ke medan yang lebih luas, mula berjinak jinak dengan aktiviti kemasyarakatan. Dan insya Allah dakwah ini akan terus subur membelah bumi kenyalang ini sehinggalah masuk ke pendalaman pendalaman Sarawak suatu masa nanti insya Allah.

Dan sekarang, salah seorang ikhwah yang berjasa dalam melebar dakwah di bumi kenyalang ini, Akh Aizam mengalami kecederaan parah akibat kemalangan. Beliau terlantar di wad ortopedik Hospital Umum Sarawak. Melihat keadaan beliau sekarang, tak tertahan lagi air mata ini, sedih sangat rasa hati.


Akh Aizam yang tabah menghadapi ujian insya Allah

Beliau juga mempunyai seorang isteri dan dua anak dibawah tanggungan beliau. Musibah demi musibah yang menimpa beliau menyebabkan beliau masih tidak dapat menamatkan pelajarannya.

Beliau juga akan menjalani pembedahan 'Total Hip Replacement'. Kos perbelanjaan dianggarkan RM 6000. Saya mohon bantuan semua terutama yang mengenali maupun tidak mengenali beliau untuk menghulurkan sumbangan.



Wallahua'lam
Abu redha
Kuching



teruskan membaca...

Cukuplah! Kami nak berdakwah

>> Thursday, July 15

Semalam, saya terima sms

" Akh, ada hal penting ana nak jumpa antum, 'urgent', boleh jumpa sekarang"

Saya membalas,

"O.k"

Kemudian, kami bertemu di salah sebuah kafeteria

"Apa ceritanya, masaalah apa?", saya bertanya

" Macam ni, ada student jumpa ana selepas ana bagi ta'lim, dia kata ana ada fikrah bagi ta'lim, dia tanya ana ikut apa, ana bagi tau ana ikut I***"..ikhwah itu menerangkan

"Jadi, apa masaalahnya?", saya bertanya kembali

"Masaalahnya, bila dia tau ana ikut I***, dia terus berubah wajah, dia pun menceritakan siapakah I*** sebenarnya menurut pandangan dia, dan siapakah Dr H menurut pandangan dia yang dia dapat dari murabbinya' . Antaranya...bla..bla..bla....", ikhwah itu menjelaskan.

"Astaghfirullahalazim", saya beristighfar panjang

Saya pun menjelaskan kembali kepada beliau perkara sebenarnya, sebatas pengetahuan saya, dan saya berani bersumpah bahawa apa yang dijelaskannya terutama mengenai Dr H adalah tidak benar sama sekali.

Untuk makluman juga, pelajar terbabit baru sahaja menamatkan sekolah menengah dan baru diterima masuk ke universiti.

"Satu lagi, pelajar tersebut nak jumpa syura IPT, nak jelaskan, kerana dia kata orang bawahan I*** tak tahu agenda orang atas", ikhwah tersebut menyambung perbicaraan

Jawapan saya,

"JANGAN LAYAN'

..........................

Beberapa minggu sudah, isteri saya dapat panggilan dari kawannya

'Salam, saya dengar I*** dah keluar jemaah sebab pemimpinnya ada agenda peribadi, so kami cuba secure student baru supaya tak ikut dengan diorang',

Isteri saya meminta bukti dari percakapannya, kalau tidak dikira 'mengumpat' dan mungkin 'fitnah',

tak dapat bagi

jawapannya, orang atas yang cakap.

'Jadi, muhasabahlah balik, niat apa berdakwah?', adakah hanya untuk 'secure' orang dari mengikut dakwah yang lain dek kerana beranggapan kitalah yang paling benar dan orang lain salah.

untuk makluman juga, kawannya pun baru menjejakkan kaki ke dunia tarbiyah

............................................


Masih banyak lagi 'cerita' dan mungkin 'fitnah' yang sudah serik saya dengar, cuma saya nak peringatkan, semakin banyak 'cerita keburukan' yang dilemparkan, tidak lain hanya akan menambahkan 'keyakinan' di hati kami yang mendengar.,

Hentikan !

"KAMI NAK BERDAKWAH, JANGAN GANGGU KAMI"

Akhir kata, kepada pengikut fikrah Hasan Al Bana, dengarkanlah apa kata sang mujahid ini

' Nata'awanu fima ittafaqna 'alaihi wa ya'dzuru ba'dhuna ba'dhan fima ikhtalafna fihi'

Bekerjasamalah kamu dalam perkara yang disepakati dan berlapang dadalah dalam perkara yang diperselisihi

Wallahua'lam

p/s ini hanya merupakan peringatan untuk majoriti individu yang mungkin bertindak tidak selari dengan keputusan pimpinan mereka, tidak adil 'membuang sebiji durian kalau hanya seulas yang rosak', benar kata pepatah ' kerana nila setitik, rosak susu sebelanga'

teruskan membaca...

Jahiliyah Pasca Moden: Apa peranan kita?

>> Sunday, July 11


Jahiliyah itu apa?


Apakah yang dimaksudkan dengan jahiliyah ialah lawan kepada ilmu pengetahuan, peradaban, kemajuan material dan ketamadunan?


Adakah zaman jahiliyah itu merujuk kepada zaman paleolitik atau mesolitik, atau zaman paganisme primitif, zaman umat menyembah berhala?

TIDAK!

Kejahihiliyahan yang dimaksudkan oleh al Quran adalah keadaan dimana spritual umat menolak hidayah Ilahi dan membelakangkan hukum Allah.

Al Quran menghukum 'jahiliyah' kepada bangsa yang maju dan dan bertamadun kerana mereka tidak menerima hidayah Ilahi.

Apakah mereka tidak berkelana di muka bumi dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang orang yang sebelum mereka?, Orang orang (dahulu) itu lebih kuat daripada mereka dan telah sanggup mengolah tanah serta memakmurkan bumi lebih banyak dari apa yang mereka makmurkan. Kemudian datanglah para rasul kepada mereka , membawa petunjuk yang jelas, Allah tidak berlaku zalim terhadap mereka tetapi merekalah yang berlaku zalim terhadap diri mereka sendiri...(Ar rum 30:9-10)

Muhammad Qutb menyatakan

Walaupun ayat ini tidak menyebut perkataan 'jahiliyah' secara langsung namun maksud dan maknanya disebut secara jelas. Kepada masyarakat jahiliyah arab, ayat itu menegaskan:

"Orang orang yang sebelum kalian itu sama dengan kalian, walau mereka itu lebih kuat dari kamu, lebih memakmurkan bumi, lebih bertamadun dari kamu, tetapi mereka menolak rasul, maka sebaiknya kamu tinggalkan kejahiliyahan dan masuk ke dalam Islam ( Muhammad qutb, Jahiliyah abad dua puluh)

Oleh yang demikian , yang dimaksudkan dengan masyarakat jahiliyah adalah masyarakat yang menolak hidayah Allah dan berhukum dengan hukuman selain dari hukuman Allah

Apakah mereka mengkehendaki hukum jahiliyah?, dan hukum siapakah yang lebih baik dari hukum Allah bagi orang orang yang yakin?" (Al-Maidah 5:50)

Persoalannya, apakah masyarakat sekarang masyarakat jahiliyah sedangkan kita telah mencapai ketamadunan yang tiada timbang taranya dalam sejarah?

Jawapannya, YA, berdasarkan takrifan jahiliyah yang telah dijelaskan. Bahkan Muhammad Qutb menjelaskan bahawa jahiliyah moden lebih luas, lebih ganas dan lebih kejam berbanding kejahiliyahan masyarakat arab ( rujuk buku 'jahiliyah al-qarn-al-isyrin' diterjemahkan 'jahilyah abad dua puluh, terbitan victoria agencie, m/s 21).

Jahiliyah DULU dan SEKARANG


Dengan menulusuri sirah, kita dapat menggambarkan bagaimana corak hidup masyarakat jahiliyah dulu, dan bagaimanakah keadaan masyarakat ketika rasulullah saw diutuskan dan bagaimana beliau bermula dalam perjalanannya mengislahkan masyarakat jahilyah

Jahiliyah Dulu,

Kedudukan wanita

Pada masyarakat jahiliyah, wanita merupakan sasaran penipuan dan kezaliman. Hak haknya dimakan, harta hartanya dirampas serta hak pewarisan pun dihalang. Bayangkan, setelah mereka diceraikan atau suami meninggal, maka mereka ditegah untuk berkahwin semula. Wanita juga dapat diwariskan sebagaimana halnya barang perhiasan atau barang tunggangan yang dapat diwariskan (As-Sirah An- nabawiyah, Abu Hasan Ali An Nadwi)

Aduh, sangat dikasihankan. Wanita ketika itu cuma menjadi simbol seks sahaja. Mangsa kerakusan lelaki. Untuk itu diciptakan pelbagai undang undang yang menjatuhkan harga diri wanita.

Cara berpakaian?, wanita jahiliyah memakai pakaian yang menampakkan dada dada mereka. Perkahwinan?, hanya simbolik sahaja, siapa sahaja boleh mendatangi dengan keizinan suami. Hak pewarisan?, wanita boleh diwariskan kepada anak suaminya untuk diperlakukan sewenangnya. Barang dagangan?, ya wanita menjadi barang dagangan untuk diniagakan, bahkan menjadi hadiah kemenangan. Wanita ketika itu di EKPLOITASI kan habis habisan kerana sifat kewanitaan mereka.

Keruntuhan moral

Arak perkara asasi dalam kehidupan, judi menjadi mainan harian, bahkan anak perempuan yang lahir ditanam hidup hidup.

Kelak anak anak ini akan bertanya kepada 'pembunuh' mereka

“Dan apabila (di Hari Kiamat) bayi-bayi yang ditanam bertanya, ‘Kerana dosa apa mereka dibunuh (ditanam)” (At-Takwir:8)

Sistem ekonomi

Sistem ekonomi arab ketika itu berasaskan riba, penipuan dan penindasan kepada golongan lemah.



Jahiliyah Sekarang,

Wanita

wanita sekarang mahu kembali kepada jahiliyah, mahu kembali menjadi 'alat' kerakusan lelaki tanpa mereka sedari.

bagaimana?

mereka tanpa segan silu menampakkan bentuk dada mereka untuk tontonan lelaki, (bertudung singkat), tudung hanya kerana fesyen, berpakaian tipis untuk menarik perhatian, berpakaian ketat menampakkan lurah badan mereka.

Wahai kaum Hawa!, kenapa kalian berperilaku sedemikian, tidakkan kalian sedar bahawa bentuk badan kalian hanya akan menjadi tontonan nafsu serakah lelaki dan kemudian dibual bicarakan seenaknya.

Apakah sesudah Islam kembali mengangkat martabat kalian, kini kalian ingin menjatuhkannya semula?

Keruntuhan moral

Saban hari mendengar berita remaja di dada dada akhbar, terasa sesak di dada. Isu merempit belum selesai, timbul gejala buang anak.

Boleh tengok koleksi berita buang bayi di blog Ust Halim

Statistik yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim telah menyatakan bahawa seramai 17,303 anak luar nikah Melayu telah didaftarkan di seluruh Negara sepanjang tahun 2009 seperti yang dilaporkan oleh akhbar Berita harian bertarikh 21hb Mac 2010. Menurut beliau lagi, bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,1000. Jumlah ini tidak termasuk di kalangan kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).



Sistem ekonomi

Setakat ini, jumlah bank bank yang mengamalkan sistem Islam, relatif kecil dibandingkan dengan bank bank konvensional. Kebanyakan masyarakat kita lebih memilih bank bank konvensional tidak berteraskan Islam kerana faedahnya lebih tinggi.

Setelah meniliti fenomena fenomena ini, persoalannya sekarang

Bukankah kita sedang berada dalam lingkungan masyarakat jahiliyah?

Kalau jawapannya 'ya', apakah penyelesaian terbaik dan peranan kita dalam menangani masalah ini?,

Adakah dengan mewujudkan pusat 'hatch baby' ?

atau mewujudkan kelab ' anti buang anak'?

atau menyertai kumpulan 'mat rempit' dan mendakwahi mereka?

atau bagaimana?...

bersambung..

teruskan membaca...

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP