Kenapa perlu ada JAMAAH JAMAAH, Islam kan satu?

>> Thursday, November 25




Kenapa perlu berjamaah dalam Islam, ada PAS, JIM, ABIM, IKRAM , ISMA dan lain lain? Itulah sebabnya Islam berpecah. Islam ni satu ja, ISLAM!

Lontaran provokasi yang cuba dimainkan oleh seorang ustaz.

Beliau menyambung dengan nada yang sedikit meninggi

Islam jadi berpecah bila ada jamaah jamaah ni, masing masing nak tunjukkan kehebatan masing masing. Sejak bila pula Islam ajar berpecah dan berjamaah macam ni??

Hadirin yang mendengar mula mengiyakan, jika difikirkan sekali imbas, memang ada benarnya. Tetapi kalau didalami, terlalu banyak kekusutannya.

Jamaah (Perkumpulan) dan Tajammu' (Mengumpul)

Jamaah secara bahasa boleh diertikan dengan "sejumlah besar manusia" @ "sekelompok manusia yang berhimpun untuk mencapai tujuan yang sama", berbeza dengan tajammu', tajammu' juga bermaksud sekelompok manusia yang berhimpun tetapi masing masing peserta perhimpunan mempunyai pandangan dan prinsip masing masing dan tidak didasari dengan rencana dan matlamat yang jelas.

Sebahagian orang (seperti kisah ustaz diatas) berpandangan bahawa dalam Islam tidak perlu berjamaah, hanya perlu tajammu' (mengumpulkan), seperti mengumpulkan manusia dalam pengajian pengajian umum dan diberi kefahaman Islam tanpa perlu ada perencanaan yang jelas, dan tanpa perlu ada misi dan visi sebuah gerakan.


Ceramah atau pengajian umum seperti dalam gambar diatas memang menimbulkan kesedaran kepada pendengar. Namun, Islam menuntut lebih dari itu, Islam meminta tenaga tenaga mereka diatur sebaiknya untuk mengembangkan Islam. Dan itu hanya dapat dilakukan melalui sebuah organisasi (jamaah)

Projek Amal Islami

Bila berbicara tentang Islam, kita bukan hanya berbicara dari sudut ritual ibadah semata. Bukan hanya aspek solat 5 waktu, puasa, zakat, haji..full stop

Bila berbicara tentang Islam, seharusnya kita berbicara dalam skop yang lebih luas

Projek Amal Islami

Tak pernah dengar?

Ya, itulah Islam. Rasulullah SAW telah menunjukkan akan hakikat Islam ini lama dahulu. Beliau berbicara tentang Islam dan projek Islam dalam semua aspek kehidupan

Ibadah, Keluarga, Politik, Ekonomi, Pemerintahan, Peperangan, Khalifah, dan lain lain

Rasulullah SAW mengatur dan membuat perencanaan tentang strategi dakwahnya. Hasilnya, Madinah berjaya ditakluki hasil perancangan Rasullah saw dan para sahabat r.a menghantar Musa'b ibn Umair ke Madinah, Yaman dibawah pimpinan Muadz ibn Jabal dan Habsyah dibawah pimpinan Jaafar bin Abi Talib. Perancangan demi perancangan, akhirnya Islam berjaya melebarkan sayapnya menakluki beberapa buah negara dunia dan ketika kewafatan Rasulullah SAW, umat Islam berjumlah lebih kurang 124,000

Nah, mana mungkin semua ini dilakukan hanya dengan 'tajammu' tanpa adanya 'Jemaah'!

Kalau kita beranggapan Islam hanya mencakup aspek 'ibadah' ritual semata. Berserban, berjubah, solat, puasa, dan yang lain lain yang mencakup takrifan individu,

Ya, memadai hanya dengan tajammu' untuk menegakkannya tetapi seandainya kita memahami Islam dengan pengertian sebenar, maka kita akan katakan hanya 'Jamaah' yang mampu menjayakannya bukan 'tajammu'

Kaedah Feqah mengajarkan

“sesuatu yang tak sempurna sesuatu yang wajib tanpanya maka hukumnya juga adalah wajib"

Sekiranya, orang kafir sahaja 'terancang' dan saling bantu membantu dalam perancangan mereka menghancurkan Islam, apakah umat Islam tidak perlu bersatu dan merancang?

Adapun orang-orang yang kafir, sebagian mereka menjadi pelindung bagi sebagian yang lain. jika kamu (hai Para muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu, niscaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerusakan yang besar”. (Al-Anfal:73)


Gambar: Akh Mambi sedang menyampaikan taujihat di Rehlah I-Medik ISMA Sarawak di Gunung Serapi

Belajar dari da'i Salafu Saleh, Menjadi Rajul 'Amah

Imam Ahmad bin Hanbal dikagumi kerana sifat 'leadership' yang dimilikinya. Beliau memimpin satu jamaah umat Islam

Seorang ahli zuhud yang masyhur, Bisyru bin al-Haris al-Hafi Rahimahullah mendapati ada tiga sifat istimewa yang terdapat pada Imam Ahmad bin Hanbal. Dengan sifat-sifat ini, Imam Ahmad dianggap melebihinya berbanding dirinya. Salah satu daripada sifat-sifat istimewa itu ialah; "...beliau merupakan imam orang ramai..” (Imam Al Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin)

Para ilmuan rijal (hadis) menyifatkan Imam Al-Auza’i pula sebagai rajul ‘ammah –orang yang bersama orang ramai

Demikian juga seorang ahli hadis, faqih dan thiqah yang lain iaitu Abu Ishak al-Fazari. Ulama rijal berkata: “Dia adalah seorang rajul ammah. Dia telah mendidik penduduk-penduduk di sempadan Islam di tanah tinggi Syam dan semenanjung yang mengadap ke Rom. Beliau mengajar mereka tentang sunnah dan cara hidup Rasulullah S.A.W., menyuruh manusia kepada
kebaikan dan melarang mereka dari kemungkaran

Demikian juga Khalid bin Abdullah al-Wasiti, salah seorang ahli hadis yang thiqah dan merupakan salah seorang dari guru-guru Imam al-Bukhari. Dia diifatkan sebagai rajul ammah (Ibnu Hajar dalam Tahzib al-Tahzib )

Pengenalan-pengenalan kepada rijal di atas menjelaskan bahawa mereka semua adalah da’i yang mengajar manusia. Ilmu mereka tidak meletakkan mereka hanya di dalam bilik-bilik. Mereka turun ke medan, memimpin masyarakat membuat pendirian dan sikap politik.

Para ulama’ sejak dahulu sentiasa menubuhkan jamaah-jamaah dan mencari sahabat-sahabat mereka untuk sama-sama melaksanakan tugas amar makruf nahi mungkar (Ahmad Ar-Rasyid dalam Al-Munthalaq


Konsep berjamaah dari Al-Quran, Hadis dan Athar

Amal jama’ie dan gerakan berjamaah merupakan perkara yang dipusakai dari Nabi-nabi a.s. Firman Allah:


“Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata".” (Yusuf 12:108)


“Berapa banyaknya nabi yang berperang bersamanya kaum (Al-Ribbiyyun) yang banyak.” (3:146)

Ibnu al-Qayyim berkata: “Al-ribbiyyun” di sini bermaksud “jamaah jamaah” seperti yang telah disepakati oleh ahli tafsir. Satu pendapat lagi mengatakan ia berasal dari perkataan “al-ribbah” yang bermaksud “jamaah”. Al- Jauhari berpendapat: “Al-ribbi” merupakan kata nama tunggal bagi “alribbiyyun”, iaitu beribu-ribu orang manusia (Ibnu al-Qayyim dalam Miftah Dar al-Sa’adah).

Rasulullah SAW bersabda

“Kalian hendaknya senantiasa bersama jamaah, karena serigala akan menerkam kambing yang tersesat lagi sendirian”. HR Abu Daud

Umar Alkhatab pernah berkata

"..tidak ada Islam kecuali dengan Jamaah, tidak ada jamaah kecuali dengan kepimpinan dan tidak ada kepimpinan kecuali dengan ketaatan" (Ad-Darimi)

Kesimpulan

Mewujudkan kumpulan atau Jamaah untuk membangunkan Islam merupakan contoh terbaik dari salafus saleh. Bahkan dikuatkan lagi dengan contoh sirah baginda rasulullah saw dan juga beberapa ayat dari ayat Al Quran

Sebuah 'bangunan' Islam tidak akan mampu berdiri gah tanpa ada kontraktor yang mahir, juru ukur yang tepat, jurutera yang bijaksana dan pekerja yang cekap.

Islam perlu didirikan dengan perencanaan yang rapi dan tersusun lebih dari hanya membina bangunan, maka adakah cukup hanya ber'tajammu' bukan berjamaah?

Fikirkanlah!

Abu Redha
Sarawak

teruskan membaca...

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP